Monday, July 14, 2008

Kera-kera Sumbang yang Tak Diundang






Saya masih ingat di ketika kemuncak kemelut UMNO di mana julung-julung kalinya jawatan Presiden UMNO di cabar buat kali pertama di kala Almarhum Sulaiman Palestin mencabar Almarhum Tun Hussien Onn. Di kalangan ahli parti ketika itu tidak terlintas sama sekali akan maksud Almarhum Sulaiman mencabar Almarhum Tun sebagai perjuangan atau serangan peribadi. Tun secara terhormat telah berundur selepas peristiwa tersebut dan jawatan Presiden parti diambilalih oleh Tun Dr Mahathir tanpa melalui proses pertandingan.

Tun Mahathir setelah memegang tampuk pemerintahan selama 6 tahun pula dicabar oleh Tengku Razaliegh yang pada kali ini merupakan pesta politik yang menarik perhatian seluruh dunia memandangkan Tun Dr. Mahathir ketika itu telah mencetuskan banyak isu yang membuat kepimpinan negara maju Barat terpegun dan dunia ketiga merasa ada pihak yang cuba membela nasib mereka.

Tengku Razaliegh yang yakin perjuangannya membawa UMNO semula ke landasan perjuangannya tersungkur dan kembali ke markasnya serta berunding dengan konco-konconya dan akhirnya menubuhkan parti baru bernama Semangat 46 yang membawa wadah memperjuangkan nasib orang Melayu dengan cara UMNO yang asal. Penulis tidak mahu menyentuh soal pengharaman serta pendaftaran semula UMNO Baru kerana ianya tidak relevan dalam perbincangan ini.

Apa yang hendak diutarakan ialah keghairahan seseorang untuk membentuk bangsa dengan caranya sendiri kononnya cara 'mainstream' pada pandangannya tidak akan berjaya malah akan membawa kepada kemudharatan. Tetapi setelah penat berjuang dengan S46 dengan gabungan PAS di bawah gagasan Angkatan Perpaduan Ummah, Tengku Razaleigh letih dan parti serpihan itu terbubar dan beliau pulang ke pangkuan UMNO, kembali menyokong Tun Dr Mahathir sebagai Presiden sehingga Tun bersara pada tahun 2003.

Melayu pada masa itu tidak berkerat rotan atau berpatah arang dan biduk berlalu kiambang bertaut.


Tetapi dalam era millenium ini trend politik negara mulai bertukar corak di mana kita dapat menyaksikan penyisihan semangat perpaduan Melayu dengan ketara akibat satu pungutan suara pilihanraya yang membuatkan satu lagi kumpulan serpihan Melayu mencapai kejayaan yang tidak disangka-sangka. Datuk Seri Anwar yang mengetuai kumpulan Melayu ini telah menganggap bahawa PRU12 sebagai satu momentum untuk beliau mempercepatkan cita-citanya untuk menjadi eksekutif nombor 1 Malaysia. PKR hidup atas kelemahan UMNO dan BN dan bukannya atas kekuatannya sendiri dan DSAI menyedari hakikat ini dan sebelum kekuatan ini luntur dan dengan tersebarnya beberapa siri pendedahan yang bakal diselongkar oleh bekas-bekas penyokongnya seperti Ezam, DSAI tidak mempunyai masa yang lama. Malaysia mesti dikuasainya dahulu kemudian beliau akan menanganinya segala permasalahannya sebagai PM.

Dengan memerhatikan tindak-tanduk DSAI sekarang, perjuangannya kini sudah jauh berbeza dari perjuangannya semasa menjadi pemimpin pelajar atau ABIM. Kalau dulu 'people centred' kini lebih kepada 'self-centred'. Tidak pernah terjadi dalam sejarah politik Malaysia di mana ibu dan anak menjadi wakil rakyat dan ayah memegang tampuk kepimpinan gugusan parti pembangkang yang memerintah 5 negeri. Juga tidak pernah terjadi dalam sejarah politik Melayu ada kera-kera sumbang Barat yang diundang untuk mencampuri urusan dalaman negara. Juga tidak pernah terjadi orang-orang Melayu sudah seperti disihir oleh ucapan-ucapan yang begitu meyakin dan mengkagumkan sehingga tidak mampu berfikir secara rasional lagi.

Begitu yakin DSAI menyatakan, hari ini perintah kerajaan esok harga minyak turun. Tidak meyakinkan saya kerana beliau tak kata minyak apa yang turun. Mungkin minyak kelapa atau minyak gamat agaknya. Walau apapun, kecuali sesuatu yang ajaib berlaku, apa yang dijanjikan DSAI itu tidak akan berlaku dan ia hanya merupakan dongengan dan tidak ada logiknya.

No comments: