Monday, September 22, 2008

Teresa Kok Tidak 100% Salah




Khalid Ibrahim menegaskan bahawa masjid-masjid dan surau-surau dibenarkan menggunakan pembesar suara untuk azan, ceramah dan bacaan Al-Quran sebagai syiar Islam. Ini berikutan dengan kemelut azan yang dicetuskan oleh bekas tahanan ISA, Teresa Kok.


Menteri Besar Selangor ini dilihat sebagai telah mempertahankan hak mutlak orang Islam bagi menegakkan syiarnya. Baguslah Tan Sri kalau macam ini, sekurang-kurangnya isu babi rakyat Selangor kurang bising setelah mereka membantah sekeras-kerasnya khususnya dari sebelah Sepang sana.


Tapi dalam bab agama Tan Sri kena rujuk balik kepada orang-orang pandai seperti Mufti dan Ustaz-ustaz yang beliau percaya.


Dalam hal ini mahu tidak mahu Teresa Kok tidaklah 100 salah atau perlu dipersalahkan.


Kita perlu merujuk kepada Surah Al-A'raf yang memberikan panduan kepada kita supaya tidak mengeraskan suara kita dalam solat. Dan sebuah Hadis sahih Muslim telah memperjelaskan kepada kita tentang apakah yang dimaksudkan dengan suara yang sederhana.


Hadis itu telah menerangkan bahawa apa yang dimaksudkan dengan sederhana ialah pembacaan ayat dalam solat itu tidak didengari sehingga keluar masjid.


Dalam hal ceramah pula adalah berkaitan dengan penyebaran dan penuntutan ilmu. Dalam Islam menuntut ilmu mestilah dengan guru yang mursyid dan ianya mestilah dengan cara berinteraksi. Jika pembesar suara digunakan sehingga satu masyarakat dengar akan timbul salah faham dan mereka yang tidak ada di dalam masjid tidak berpeluang untuk menuntut penjelasan.


Bagi azan nas yang mengatakan ia perlu kuat ialah bila Bilal diarahkan melaungkan azan di tempat yang tinggi. Oleh yang demikian azan perlu kuat. Hal ini Teresa Kok atau sesiapa juga tidak boleh pertikaikan.


Oleh yang demikian pentadbir Islam baik di peringkat persekutuan mahupun negeri termasuk Kelantan, mengkaji balik hal ini dan membuat pembetulan dengan wajar.

1 comment:

panjangakal said...

Saya dah rujuk kepada kepada ayat Quran dan Hadis yang dimaksudkan dan memang jelas bahawa bacaan Quran dalam solat mesti tidak boleh sehingga keluar dari masjid.
Nampaknya ini yang tak dinampak oleh Tok-tok Imam dan ustaz-ustaz kita. 'Teresa yang nampak' kan ke pelik tu?