Thursday, August 7, 2008

Khutbah Yang Tak Mungkin Dilulus JAKIM


KHUTBAH KHAS BULAN REJAB
”KEJATUHAN DAULAH KHILAFAH”
( 1 Ogos 2008 / 28 Rejab 1429H )
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada
Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya
dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperoleh taufik
dan hidayah di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah: ”
KEJATUHAN DAULAH KHILAFAH”.
Ma’asyiral Muslimin rahimakumullah!
Kita telah pun berada di hari-hari akhir bulan Rajab. Sukalah mimbar ingin
mengingatkan para jemaah sekalian bahawa pada hari ini, pada 28 Rajab 87
tahun yang lalu, iaitu 28 Rajab 1342H, bersamaan dengan 3 Mac 1924M,
kaum kuffar penjajah yang diketuai oleh British, dengan bantuan penguasa
pengkhianat Arab dan Turki telah berupaya menghapuskan Daulah Islam
(Daulah Khilafah). Pengkhianat pada waktu itu, Mustafa Kamal la’natullah,
telah mengumumkan berakhirnya Khilafah di Istanbul, mengepung Khalifah
serta mengusirnya pada pagi hari tersebut. Demikianlah apa yang terjadi di
mana telah berlaku satu goncangan yang dahsyat di negara umat Islam dengan
kejatuhan sebuah Daulah Islam yang telah memayungi dunia selama lebih
1300 tahun. Pihak kuffar Barat benar-benar memahami bahawa kekuatan dan
penyatuan umat Islam yang hakiki adalah di bawah Daulah Khilafah. Kerana
itulah mereka telah berusaha bersungguh-sungguh dengan menggunakan
segala kekuatan, tipu helah, kelicikan dan agen-agen mereka bagi memastikan
Daulah Khilafah tidak akan muncul kembali. Mereka tidak pernah leka dan
berhenti dari usaha mereka ini dalam memastikan umat Islam tidak akan
bangkit dan bersatu kembali di bawah naungan Khilafah.
Lord Curzon, Menteri Luar British, dengan angkuhnya telah menyatakan
perkara ini di hadapan House of Commons setelah Perjanjian Lausanne pada
24 Julai 1924. Katanya,
"We must put an end to anything which brings about any Islamic unity
between the sons of the Muslims. As we have already succeeded in finishing
off the Khilafah, so we must ensure that there will never arise again unity for
the Muslims, whether it be intellectual or cultural unity… The situation now is
that Turkey is dead and will never rise again, because we have destroyed its
spiritual strength, the Khilafah and Islam".
(Kita mesti hapuskan apa-apa sahaja yang boleh membawa kepada penyatuan
di kalangan umat Islam. Memandangkan kita telah berjaya menghancurkan
Khilafah, jadi kita mesti pastikan yang umat Islam tidak akan bersatu
kembali, sama ada secara intelektual atau kebudayaan… Faktanya sekarang
adalah bahawa Turki telah mati dan ia tidak akan bangkit lagi, kerana kita
telah menghancurkan kekuatan rohnya (yakni) Khilafah dan Islam)
Sejak jatuhnya Khilafah, kuffar Barat melakukan serangan fizikal secara
besar-besaran ke atas umat Islam di seluruh dunia. Mereka membunuh,
merogol, menangkap, memenjara, menyeksa dan melakukan pelbagai bentuk
kekejaman lainnya yang benar-benar tidak berperikemanusiaan. Umat Islam
diperlakukan umpama binatang, malah jauh lebih buruk dari itu. Kuffar
penjajah telah masuk dan mencatur negara umat Islam. Mereka lalu
membahagikan dan mencerai-beraikannya kepada pecahan-pecahan kecil
hingga mencecah lebih dari 50 buah negara yang lemah dan tidak berdaya.
Mereka melantik di setiap negara tersebut seorang agen mereka, sebagai
penguasa yang memerintah mengikut apa yang mereka kehendaki dan
melarang mengikut apa yang dilarang oleh mereka. Ya, Barat dan agen
mereka dari kalangan penguasa Muslim telah melakukan semua kekejaman
dan kekejian ini dengan begitu mudah sekali kerana umat Islam telah
kehilangan Daulah Khilafah, sebuah perisai yang selama ini menjaga dan
melindungi mereka! Demikianlah secebis kisah bagaimana bermulanya segala
penderitaan dan kehinaan yang menimpa umat ini, umat yang pernah satu
ketika dahulu memimpin dunia dan membawa rahmat ke seluruh penjuru alam
di bawah kekuasaan Khilafah.
Ma’asyiral Muslimin rahimakumullah!
Sesungguhnya menegakkan kembali Khilafah adalah wajib. Dalil dari Al-
Quran, As-Sunah dan Ijmak Sahabat cukup-cukup jelas dalam hal ini. Malah
seluruh imam mazhab dan para mujtahid tanpa kecuali telah bersepakat bulat
akan wajibnya Khilafah (atau Imamah) ini. Pendapat-pendapat mereka tentang
kewajiban ini tertuang di dalam kitab-kitab karangan mereka yang masyhur.
Syeikh Abdurrahman Al Jaziri menegaskan hal ini dalam kitabnya Al Fiqh
‘Ala Al Madzahib Al Arba’ah, jilid V, hal. 416, “...para imam madzhab (Abu
Hanifah, Malik, Syafi’i, dan Ahmad) -rahimahumullah- telah sepakat bahawa
Imamah (Khilafah) itu wajib adanya, dan bahawa umat Islam wajib
mempunyai seorang Imam (Khalifah,) yang akan meninggikan syiar-syiar
agama serta menolong orang-orang yang tertindas dari yang
menindasnya....”. Menegakkan Khilafah merupakan kewajipan dari Allah ke
atas kita semua. Ia adalah satu tugas yang mulia kerana hanya dengan
terwujudnya Khilafahlah, maka barulah hukum-hukum Allah dapat
dilaksanakan secara kaffah.
Wahai kaum Muslimin! Semenjak kejatuhan Khilafah hingga kini, kita semua
hidup di dalam sistem sekular warisan penjajah kuffar. Justeru, bagaimanakah
kemuliaan Allah akan tercurah ke atas kita apabila hukum kufur sekular,
bukannya hukum Allah yang mengatur hidup kita? Bagaimana kemuliaan
akan datang kepada umat Islam apabila Al-Quran dan As-Sunah disingkirkan
dari aspek pemerintahan negara? Generasi terdahulu dari kita telah dapat
mengecapi segala kebaikan dan kemuliaan di kala mereka hidup di bawah
naungan Khilafah. Di kala itu, umat Islam benar-benar menjadi umat yang
terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, sebagai para pengikut Nabi
Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Firman Allah swt,

“Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan
untuk manusia, kamu menyuruh berbuat makruf dan melarang daripada
mungkar dan kamu beriman kepada Allah” [QS Ali Imran (3):110]
Ma’asyiral Muslimin rahimakumullah!
Nenek moyang kita dahulu adalah para Khulafa’ al-Rasyidun yang berjihad
menakluk negara-negara demi menegakkan agama Allah. Kita adalah anak
cucu kepada orang-orang yang telah dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Kita
adalah anak cucu penakluk Andalus dan penyebar tamadun Islam di
dalamnya. Kita adalah anak cucu al-Mu’tasim yang mengetuai bala tentera
yang begitu besar hanya untuk menyelamatkan seorang wanita yang dizalimi
oleh seorang lelaki Rom. Kita adalah anak cucu al-Rasyid yang menyuarakan
jawaban kepada Raja Rom di waktu beliau membatalkan perjanjiannya
dengan umat Islam dan memusuhi mereka. Baginda menjawab dengan berkata
“Daripada Harun Amirul Mukminin kepada Nakfur anjing Rom, jawabannya
adalah apa yang kamu lihat bukan yang kamu dengar”, maka sampailah
tentera Islam ke benteng Rom sebelum sampainya surat tersebut kepada Raja
mereka.
Kita adalah anak cucu Salahuddin al-Ayubi, pejuang yang menghentak tentera
Salib dan dimuliakan Allah dengan menjadi pembebas Baitul Muqaddis,
tempat suci ketiga umat Islam. Kita adalah anak cucu Sultan Qutuz dan
Baybars penghancur bangsa Tartar. Kita adalah anak cucu Muhammad al-
Fatih, seorang pemimpin muda yang usianya belum pun mencecah 23 tahun
dan beliau telah dimuliakan oleh Allah dengan pujian Rasulullah menjadi
penakluk Konstantinopel. Kita adalah anak cucu Khalifah Sulaiman al-Qanuni
yang diminta bantuan oleh Perancis pada kurun ke-16 ketika rajanya ditawan
dan mereka tidak menemukan kekuatan yang setimpal yang dapat
memberikan perlindungan kepadanya melainkan Khilafah Islam. Kita adalah
anak cucu Khalifah Salim ke-3 yang pada zamannya, Amerika membayar
cukai tahunan kepada walinya di Algeria sebanyak 642,000 dolar emas
dengan penambahan 12,000 lira emas Utsmani, sebagai ganti pembebasan
para tawanan Amerika yang ada di Algeria dan memberi keizinan kepada
kapal-kapal Amerika untuk belayar dengan aman di Lautan Atlantik dan Laut
Mediteranean tanpa menghadapi tentera laut Utsmani di wilayah Algeria. Dan
buat pertama kalinya Amerika terpaksa mengadakan perjanjian dalam bahasa
selain bahasanya (perjanjian adalah di dalam bahasa Daulah Utsmaniyyah)
pada 21 Safar, 1210 Hijrah – bersamaan 5 September 1795 Masehi.
Kita adalah anak cucu Khalifah Abdul Hamid yang tidak dapat diperdayakan
oleh jutaan wang emas yang dihamparkan oleh Yahudi laknatullah kepadanya.
Beliau tidak gentar kepada tekanan antarabangsa agar beliau mengizinkan
mereka (Yahudi) untuk menduduki Palestin. Beliau menjawab dengan
perkataannya yang masyhur “Sesungguhnya tertancapnya pisau bedah di
dadaku adalah lebih ringan buatku daripada aku melihat Palestin terpisah
dari Daulah Khilafah”. Pandangan beliau yang jauh menyebabkan beliau
menyambung kata-katanya, “..simpanlah sahaja jutaan wangmu wahai
Yahudi, namun sekiranya hancur Daulah Khilafah suatu hari nanti, maka
barulah mereka boleh mengambil Palestin tanpa sebarang harga”. Dan inilah
hakikat yang telah berlaku setelah kejatuhan Khilafah. Pemerintah boneka
Palestin telah benar-benar melenyapkan dan menyerahkan Palestin kepada
Yahudi laknatullah.
Inilah nenek moyang kita wahai kaum Muslimin, dan demikianlah apa yang
telah mereka lakukan, dan kita merupakan anak cucu mereka. Maka ikutilah
kebenaran yang telah mereka lalui ini. Kembalilah kepada kemuliaan yang
telah mereka usahakan dan usahakanlah kemuliaan ini. Sesungguhnya kita
wajib bergerak ke arah kemuliaan ini. Kita wajib bekerja siang dan malam
untuk mengembalikan kehidupan Islam dengan mendirikan semula Daulah
Khilafah ar-Rasyidah. Sabda Rasulullah saw,
"Barang siapa yang mati dan di pundaknya tidak ada bai'at (kepada Khalifah)
maka matinya seperti mati jahiliyah ". [HR Muslim]
Ma’asyiral Muslimin rahimakumullah!
Sesungguhnya kita mempunyai kekuatan dan sesungguhnya negara kafir
penjajah hanya kelihatan kuat tetapi hakikatnya mereka itu amat lemah.
Mereka memiliki senjata-senjata yang hebat tetapi langsung tidak memiliki
pejuang yang hebat. Tentera mereka walaupun besar jumlahnya, namun
adalah tentera yang takut mati. Secanggih mana sekalipun senjata tanpa
pejuang yang berani akan pastinya lemah di hadapan sekelompok kaum
Mukmin yang berjuang mengharapkan syahid di jalan Allah. Bukti kelemahan
mereka terpampang jelas di depan mata kita. Kematian dan kekalahan saban
hari menjemput tentera Amerika di Iraq, begitu juga di Afghanistan. Israel
pula dengan kehebatan senjata yang mereka miliki langsung tidak dapat
mengalahkan sekelompok kecil dari pejuang Islam. Kecanggihan senjata
fizikal semata-mata tidak dapat menentukan kejayaan dalam peperangan
menentang umat Islam. Umat ini, meskipun hanya memiliki persenjataan yang
sedikit, namun mereka ada aqidah yang benar, yang hidup, yang
menggerakkan mereka dengan kekuatan yang luar biasa. Hakikat ini tidak
disedari oleh golongan kuffar durjana yang diketuai oleh Amerika. Amerika
tidak dapat memahami semangat jihad dan cintakan syahid kaum Muslimin
bahkan menanggapinya sebagai sejenis fenomena gila dan mentafsirkannya
sebagai bunuh diri! Amerika sebenarnya sedang mengalami kesempitan,
terdesak dan tersepit di Afghanistan dan Iraq dan mereka sekali-kali tidak
akan terselamat dengan izin Allah. Amerika dan tenteranya ini bagaikan
sebuah batu keras yang digunakan untuk memecahkan, namun ia pecah
sebelum ia memecahkan. Inilah janji Allah bahawa kaum kuffar akan pasti
dikalahkan.
Situasi antarabangsa pada hari ini hakikatnya semakin menzahirkan
kelemahan dan kekalahan musuh-musuh Allah ini. Rusia sekarang ibarat singa
tua yang cuba bangkit. Di Eropah, Perancis masih berusaha mencari jalan
untuk memantapkan pengaruh. Britain yang nampak seakan kuat, hanya
merupakan seekor musang (cerdik tetapi jahat) yang lemah. Negara-negara
kufur yang nampak kuat ini sebenarnya sudah tidak sehaluan dan tanpa
persepaduan ini, mereka akan berpecah dan akan terus melemah.
Sesungguhnya negara kuffar ini sedang menggali kubur masing-masing.
Kehancuran mereka ini hakikatnya berada di tangan kalian wahai kaum
Muslimin, kerana kalian selaku umat yang terbaik sahajalah yang paling
berhak untuk menghancurkan Amerika. Inilah keadaan negara-negara besar di
dunia pada hari ini. Manakala negara Yahudi, urusannya adalah lebih mudah.
Hidupnya bergantung kepada negara lain. Jika Barat tidak membantunya dan
yang lebih penting, jika tidak wujud pengkhianatan para pemerintah di negaranegara
umat Islam sebagai boneka Barat, maka urusan kaum Yahudi telah
selesai sejak lama dahulu dan akan hanya wujud sebagai suatu sejarah dan
inilah yang akan berlaku dengan izin Allah. Dan sesungguhnya, dengan izin
Allah kita pasti akan mengalahkan Amerika dan sekutu-sekutunya ini, apabila
tertegaknya Khilafah sedikit masa lagi.
“Dan Allah telah berjanji kepada -orang yang beriman dan beramal soleh
dari kalangan kamu bahawa Dia akan sungguh-sungguh menjadikan mereka
berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang
yang sebelum mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi
mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia benar-benar
akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami
ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu Dengan
tidak mempersekutukan sesuatu apa pun denganKu. dan (ingatlah) sesiapa
yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.”
[QS an-Nur (24):55]
Ma’asyiral Muslimin rahimakumullah!
Negara-negara kufur pimpinan Amerika kelihatan kuat kerana buat masa ini,
para penguasa pengkhianat di kalangan umat Islam masih mengurung dan
merantai tentera-tentera Islam yang mereka miliki. Jika tentera ini dilepaskan
pun, mereka hanya dilepaskan untuk berkhidmat kepada organisasi kufur PBB
yang hakikatnya berada di bawah telunjuk Amerika. Kerana telah terlalu lama
dipenjarakan dengan sistem dan pemikiran sekular, para tentera kaum
Muslimin ini pula, sebahagian besarnya masih belum sedar akan
tanggungjawab dan kewajipan mereka untuk berjihad di jalan Allah. Walhal
firman Allah,

“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak
beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang
telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak beragama dengan
ugama yang benar, Iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum
Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar "Jizyah" Dengan keadaan
taat dan merendah diri.” [QS at-Taubah (9):12]
Para tentera kaum Muslimin sebenarnya perlu bangkit dan sedar bahawa
mereka sebenarnya wajib melancarkan jihad terhadap musuh-musuh Allah.
Mereka perlu bertanya untuk apa mereka menjadi tentera jika tidak untuk
mengejar dan mengecapi kenikmatan syahid di jalan Allah dan meraih syurga
Allah di akhirat kelak. Mereka perlu sedar bahawa inilah peranan dan tugas
mulia mereka. Mereka perlu sedar bahawa mereka sebenarnya kuat, hanya
pemimpin yang ada sahaja yang telah merantai kekuatan mereka.
Sesungguhnya tentera kaum Muslimin adalah tentera-tentera Allah yang
apabila mereka berjuang, Allah dan malaikat akan bersama mereka dan
membantu mereka sama ada mencapai kemenangan atau kesyahidan. Perintah
Allah,
Demi sesungguhnya, apabila Khilafah telah tertegak nanti, maka Khalifah
akan menggerakkan bala tentera ini menuju salah satu dari dua kemuliaan –
kemenangan atau syahid di jalan Allah. Dengan turunnya tentera-tentera Allah
ini ke medan tempur dengan diiringi oleh para malaikat, maka Insya Allah
kemenangan pastinya akan berpihak kepada umat Islam. Pada ketika ini, kita
akan menyaksikan kegerunan dan ketakutan menyusup masuk ke tubuh
tentera-tentera kuffar, kita akan menyaksikan kemusnahan dan kebinasaan
menimpa tentera-tentera kuffar dan kita akan menyaksikan kekalahan serta
maut menjemput mereka satu demi satu. Dengan berperangnya tentera Islam
di bawah pimpinan seorang Khalifah dan bertempurnya tentera Islam di
bawah bendera dan panji-panji “La ilaha illallah Muhammad Rasulullah”,
maka Insya Allah bumi umat Islam akan dibebaskan satu per satu oleh sang
Khalifah. Palestin dan Iraq akan dibebaskan, begitu juga Afghanistan,
Kahsmir, Bosnia, Selatan Thai dan lainnya. India dan Pakistan akan
diselamatkan dan Insya Allah, seluruh dunia Islam akan disatukan di bawah
satu payung pemerintahan yang diberkati Allah. Di kala ini, maka akan
terbebaslah saudara-saudara kita dari belenggu negara-negara kafir penjajah,
akan keluarlah saudara-saudara kita dari segala cengkaman sekular dan
kekufuran. Dan akan berakhirlah segala penderitaan dan kesengsaraan kita.
Dengan bersatunya negara-negara kaum Muslimin di bawah Khilafah, maka
akan lenyaplah segala kebatilan dan akan zahirlah agama Allah di muka bumi.
Inilah tujuan dari pengutusan Rasul. Firman Allah,
“Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa
petunjuk dan agama yang benar (ugama Islam), untuk dizahirkan atas segala
agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.” [QS
at-Taubah (9):33]

Wahai kaum Muslimin!
Sesungguhnya semua kemuliaan itu hanya akan dapat dicapai apabila
kembalinya Daulah Khilafah, sebuah institusi politik agung umat Islam. Inilah
yang telah dikecapi oleh orang-orang yang terdahulu dari kita di kala mereka
hidup di bawah naungan Khilafah. Dan Insya Allah, inilah juga yang akan kita
kecapi apabila kembalinya institusi agung pemersatu ummah ini. Tanah-tanah
umat Islam akan diterapkan keadilan hukum-hukum Allah dari tujuh petala
langit. Al-Quran dan As-Sunah akan kembali menjadi pengatur urusan hidup
dan urusan negara. Segala kemuliaan yang hilang akan pasti kembali ke
pangkuan kita. Cahaya kebaikan akan bergemerlapan, berseri dan
memancarkan sinarnya menembusi alam. Bumi umat Islam akan diselimuti
dengan segala macam berkat dan rahmat dari Allah Azza wa Jalla, Tuhan
semesta alam.
Ya benar, semua itu akan terjadi tatkala Khilafah menaungi dunia untuk kedua
kalinya. Dan kalian wahai saudaraku, di tangan-tangan kalian ada kuasa yang
diberikan oleh Allah Azza wa Jalla untuk melantik dan membai’ah seorang
Khalifah yang akan mengatur dunia ini dengan perintah dan larangan Allah
dan seterusnya akan mengembalikan kemenangan serta kemuliaan kepada kita
semua. Justeru, sedarlah wahai saudaraku sekalian dan ayuhlah bergabunglah
bersama gerakan yang akan berusaha bagi mengembalikan kehidupan Islam
dengan mendirikan Daulah Khilafah al-Rasyidah atas minhaj kenabian.
Kepada Allah kita memohon dan hanya kepadaNya kita berlindung.

“...Cukuplah Allah yang menolong kami, dan Dia adalah sebaik-baik
Pelindung”

2 comments:

Anonymous said...

Tukarlah petikan Quran/Hadis tu. Dah lama sangat daaah. Bagilah ayat lain yang boleh kita renungkan bersama.

Anonymous said...

Selangor, Kedah, Kelantan, Perak boleh lulus kot. Belum terai belum tau.