Tuesday, August 19, 2008

PEMILIHAN UMNO TERUS KOTOR!

Dalam keghairahan menghadapi pilihanraya kecil Permatang Pauh, cawangan-cawangan UMNO seluruh negara kini sedang rancak mengadakan mesyuaratnya. Walaupun di peringkat cawangan, kekecohan pemilihan AJK berada di tahap yang membimbangkan dan bahagian yang melibatkan Menteri sebagai pemimpinnya tidak terkecuali.
Politik wang terus mengungguli pemilihan seperti biasa. Ianya telah membudaya dalam UMNO sejak ahli-ahli UMNO pandai mengira duit. Kemewahan negara telah melimpahkan rezeki yang tidak diduga lebih-lebih lagi kepada orang Melayu melalui projek-projek kerajaan dan bantuan-bantuan lain. Namun rata-rata pencapaian orang Melayu masih jauh ketinggalan kerana yang dapat menuai kemakmuran itu ditumpukan hanya kepada segelintir golongan yang mempunyai hubungan yang baik.
Setiap kali pemilihan UMNO akan dapat kita saksikan bagaimana ‘steadynya’ orang Melayu UMNO ini dengan kereta yang menjalar-jalar, jam yang mahal-mahal, kain songket yang berharga ribuan ringgit, barangan kemas yang terkini dan lain-lain bentuk kemewahan lagi.
Tetapi lihatlah pencapaian UMNO sejak kebelakangan ini. Lihatlah sokongan terhadap UMNO dan pernahkah mereka merenung adakah mereka benar-benar mewakili aspirasi orang Melayu dan Islam? Perlembagaannya sungguh cantik tetapi pelaksanaannya sungguh menjijikkan waemah kepada orang UMNO sekalipun.
Kini UMNO telah menjadi pembangkang dalam 5 negeri namun perebutan kuasa dalam UMNO bertambah terus dan ianya berdasarkan pertukaran pemimpin. Tidak dinafikan bahawa kebanyakan bahagian UMNO memang memerlukan pertukaran pemimpin memandangkan sokongan rakyat yang terhakis dan penyelewengan kepimpinan yang berterusan. Tun Mahathir sendiri telah keluar UMNO akibat kecewa dengan kepimpinan nombor satunya.
Akan tetapi dalam banyak-banyak perebutan kuasa ini, isu pertukaran kepimpinan itu sekadar dijadikan penyebab untuk berkuasa kerana masih ada lagi kepentingan yang boleh diraih kerana UMNO masih lagi menguasai kerajaan pusat.
Hendak mencari seorang pejuang tulin dalam UMNO memang sukar kerana parti ini sudah berada di kemuncaknya dan menjadi lumrah apabila banyak gulanya maka banyaklah semutnya.
Bagi menunggu muncul semula pejuang tulin, tunggulah saat dan ketika bila UMNO sudah hilang segala-galanya, kerana mati semut juga kerana gula.

1 comment:

Anonymous said...

Melayu UMNO yang tak sedo-sedo. Dah kalah nak lawan lagi, Naib Presiden satu bas nak bertanding. Nak rebut apa lagi? Parti dah kalah lah