Wednesday, April 27, 2011

Vaksin Halal: Majlis Fatwa Kurang Maklumat Atau Kurang Peduli?


Minggu lalu Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan kenyataan bahawa sejenis vaksin pencegahan penyakit meningococal meningitis akan terus digunakan untuk para jemaah haji dan umrah. Vaksin dari jenis polisakarit itu telah menjadi vaksin pilihan sejak tahun 2002 lagi apabila Majlis ini mengeluarkan fatwa mengharusksn penggunaannya walaupun tidak dapat disahkan kehalalannya.
Pembuatan vaksin adalah satu proses yang rumit dan ia telah mengalami beberapa evolusi khususnya dalam penghasilan benih-benih.
Benih-benih vaksin ini telah dihasilkan pada awal kurun ke 20 dengan ianya dibiakkan dalam medium yang berasaskan babi. Inilah yang menjadi kegelisahan pengguna apabila vaksin ini diberikan kepada jemaah haji dan umrah atas kehendak dan peraturan yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi.


Atas alasan ini dan ketiadaaan vaksin yang halal maka Majlis Fatwa Kebangsaan mengharuskan penggunaanya dalam keputusan Majlis Fatwa tahun 2002.
Pada awal tahun ini kerajaan Malaysia telah diperkenalkan dengan sebuah lagi vaksin dari jenis konjugat yang mempunyai banyak kelebihan dari vaksin yang terdahulu dan mempunyai ciri-ciri yang khusus yang memberikan perlindungan yang lebih dan pelalian yang berpanjangan.
Apa yang lebih penting vaksin ini telah mendapat pengiktirafan halal dari Majelis Ulama Indonesia, MUI dan Islamic Services of America, ISA.
Faktor utama yang menyebabkan kesediaan MUI memberikan status Halal tersebut adalah kerana benih-benih yang dibiak itu tidak pernah bersentuhan dengan bahan-bahan yang berunsurkan babi. Dalam pada itu MUI juga telah mengharamkan penggunaan vaksin lama yang digunakan oleh kerajaan Malaysia. Atas dasar ini, maka kerajaan Indonesia telah mengarahkan vaksin baru ini digunapakai.
Nah, di Malaysia agak berbeza pendapatnya. Walaupun diharamkan oleh Indonesia, Majlis Fatwa Kebangsaan masih mengharuskannya kerana mengikut pendapat pakar Malaysia vaksin tersebut melalui proses yang sama juga dengan vaksin yang baru ini. Agak menghairankan juga kerana apa jua pendapat MUI berdasarkan sekumpulan pakar tetapi keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan hanyalah berpandukan kepada laporan yang diberikan oleh seorang pegawai farmasi biasa.
Dengan demikian banyak fakta-fakta yang penting mengenai ciri vaksin baru ini tertinggal atas sebab yang Allah sahaja yang tahu. Apakah pegawai ini kurang peka, kurang ilmu, kurang maklumat atau ada kepentingan tertentu.
Kesan daripada sikap ini maka jemaah haji dan umrah Malaysia kekal terdedah kepada vaksin yang syubhah kerana ada pendapat yang mengatakan vaksin yang diharuskan ini adalah Haram!
Apa yang lebih gamat lagi ialah Majlis Fatwa juga mengambil alasan harga yang lebih tinggi sedangkan Indonesia, sebuah negara yang lebih miskin dari Malaysia mampu untuk menggunakan vaksin baru ini walaupun mahal!
Apa yang lebih gamat ialah badan yang mengharamkan vaksin ini adalah badan pensijilan yang diiktiraf oleh JAKIM!
Hayatilah hadis popular ini, "yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas dan diantaranya adalah syubhah dan hendaklah kamu meninggalkan yang syubhah itu kerana ianya lebih hampir kepada Haram demi menjaga maruah dan agama kamu..."

No comments: