Friday, April 15, 2011

Lebih 'Halal' dari Halal?



Memang tidak dinafikan bahawa pensijilan Halal Malaysia adalah satu-satunya sistem pensijilan yang diterima pakai seluruh dunia Islam dan bukan Islam. Ia telah menjadi rujukan yang utama dalam pihak-pihak berkepentingan memastikan bahawa produk itu menepati kehendak Halal yang sebenarnya.
Beberapa prosidur Halal Malaysia, terutamanya produk makanan, kosmetik, barangan bulu dan kulit adalah berdasarkan beberapa standard yang telah digariskan oleh Jabatan Standard Malaysia melalui sebuah jawatankuasa standard industri dan dibincangkan secara terperinci di dalam jawatankuasa-jawatankuasa teknikal yang dibentuk.
Namun bagi banyak produk lain ianya adalah tertakluk di bawah garispanduan umum JAKIM.
Halal dan JAKIM dilihat begitu sinonim sehingga ada yang menganggap bahawa JAKIM itu Halal dan Halal itu JAKIM. Ada pula yang melihat sebagai Halal itu di'punyai' JAKIM.
Malah ada di kalangan pegawai JAKIM juga ada yang terbawa-bawa sehingga mengiyakan bahawa takrifan Halal itu perlu dirujuk dari kacamata pentadbiran dan prosidur JAKIM berdasarkan kepada Standard dan Pensijilan Halal dan bukannya dari takrifan yang ditentukan oleh Al-Quran, walaupun standard-standard itu sendiri bersendirikan Al-Quran, Hadis, Qiyas dan Ijma' serta pendapat Ahlisunnah wal Jamaah. Wajarkah Halal ditakrif semula mengikut kehendak pentadbiran dan bukan syarak?
Lebih dari itu, Majlis Fatwa juga tidak mempunyai hak untuk menentukan sesuatu produk itu Halal dan hanya bertindak mengharuskannya setelah didapati tidak bercanggahan dengan hukum dengan nas-nas yang kuat. Berbahasaan Halal menjadi hak milik Bahagian Hab Halal JAKIM dan tiada siapa yang boleh 'mengusik'nya.
Apakah obsesi ini menunjukkan integriti pensijilan Halal atau apakah ia akan mewujudkan satu stigma yang kurang sihat dikalangan masyarakat niaga?
Akta Perihal Pengguna 1972 akan dipinda dan yang bakal dipinda adalah kewajipan setiap produk yang berkaitan pengguna khususnya makanan, kosmetik, barangan bulu, tulang dan kulit serta farmaseutikal mendapatkan sijil Halal.
Adakah agensi kerajaan yang obses ini bersedia untuk menghalalkan semua restoran dan gerai-gerai makan yang halal dengan sijil 'Halal' yang ada standard?

No comments: