Thoughts on political, religious, social, international, consumer or other issues deemed necessary.
Friday, November 11, 2011
'Kemenyampahan' dan 'Kemeluatan' Rakyat Lahirkan Ramai Calon Bebas
Kalaulah dari dulu UMNO mempunyai pendirian untuk menerima siapa sahaja calon yang layak, sudah tentu parti itu dan BN tidak perlu mengharungi kemelut sekarang.
Pengumuman Najib berkaitan calon ini semalam sebenarnya adalah aspirasi rakyat Melayu yang inginkan calon yang berwawasan dan bukannya calon yang ampu-ampuan. Bukan hanya popular di kalangan UMNO tetapi diterima semua lapisan masyarakat.
Apakah saranan Najib ini boleh diterima oleh setiap peringkat kepimpinan UMNO? Soalan ini amat berat dijawab tetapi realitinya adalah mustahil untuk semua kepimpinan bahagian menerimanya.
Mungkin ada pemimpin bahagian akan berkata, "Saya dah curahkan tenaga, buah fikiran dan wang ringgit untuk menghidupkan bahagian ini, kenapa tiba-tiba calon lain yang nak sibuk-sibuk bertanding dan mahu jentera bahagian ini membantu?"
Memang benar keluhan ini akan berkumandang secara senyap atau bawaan dari mulut ke mulut dan sudah pasti ianya sampai ke pengetahuan Najib. Soalnya apakah yang boleh Najib lakukan untuk memastikan 'calon boleh menang'nya bertanding dan mendapat sokongan jentera dan kepimpinan parti?
Memang sukar untuk semua mahu ianya berlaku.
Apa yang bakal berlaku ialah jika kepimpinan sesuatu bahagian yang terlalu haprak dan pemimpinnya degil dan bertegas mahu bertanding juga, maka cara yang terbaik ialah bagi UMNO-BN menaja calon-calon ini atas tiket bebas.
Ini jika kita mengandaikan bahawa calon itu mampu berdiri atas personalitinya dan mempunyai kedudukan dan penghormatan tinggi dari masyarakat setempat. Namun strategi ini perlu dikaji tetapi tidak perlu dihebah dan laporan tulin dan mantap dari anggota risikan polis dan tentera adalah kritikal. Laporan JASA dan KEMAS memang kurang dipercayai dan ini adalah rahsia umum kerana pendokong-pendokong KEMAS dan JASA juga terdiri dari pendokong parti yang berkemungkinan besar akan cenderung pada kehendak parti dan bukan kehendak kepimpinan tertinggi.
Strategi ini juga perlu dilaksanakan juga memandangkan kemuakan, kebencian, 'kemenyampahan' yang meluap-luap rakyat terhadap pemimpin UMNO. Mungkin di pihak PR juga sudah memikirkan kaedah ini kerana tidak kurang juga golongan rakyat sudah meluahkan kemeluatan mereka terhadap parti yang pelik ini.
Sekarang pun sudah banyak terdapat ahli parlimen bebas yang rakyat pun kadang-kadang keliru terhadap kecenderungan mereka.
Kemungkinan-kemungkinan calon bebas bakal mendominasi PRU13 ini bakal menjadi realiti dan bersedialah untuk menyaksikan rundingan-rundingan lompat parti selepas calon-calon ini berjaya kelak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment