Sebelum Ramadhan, di penghujung Sya'aban tentu ramai di antara kita yang sibuk memenuhi kenduri kahwin dari sahabat andai dan keluarga dekat dan jauh. Biasalah, nak kejar sebelum Ramadhan menjelma.
Tak kurang juga acara-acara rasmi dan tidak rasmi yang dianjurkan oleh kerajaan dan swasta.
Bila sampai bulan Ramadhan, semua program yang mempunyai unsur bukan agama dihentikan dari dilaksanakan oleh pelbagai pihak bagi menghormati bulan yang mulia itu.
Di kaca-kaca TV, semua program yang berunsurkan maksiat dan tidak menepati syariah dihentikan buat sementara, walaupun dalam beberapa slot lazim ada juga rancangan-rancangan yang menjolok mata, tapi biasanya dari saluran luar.
Pendek kata, bila tiba bulan Ramadhan semua kena jadi baik dan hentikan perbuatan maksiat seolah-olah di bulan-bulan lain maksiat halal dilakukan. Obama dan Cameron juga mengambil peluang memberikan perutusan khas sempena Ramadhan secara rasmi.
Itu satu hal. Orang Melayu satu bangsa yang sangat apologetik dan suka kasihankan orang lain. Maka dalam bulan Ramadhan sikap ini amat diraikan terutama sekali dalam soal makan dan minum.
Setiap kali hari mantai (sehari sebelum puasa) pasar-pasar penuh sesak dengan manusia membeli makanan dan permintaan untuk makanan mendadak sehingga 3 kali ganda. Kasihan Pak Menteri kenalah umum siap-siap bekalan makanan cukup untuk puasa dan menyambut raya.
3 kali ganda? Agak hairan bin ajaib. Dari mana agaknya datang permintaan yang sebegitu mendadak? Adakah penduduk Malaysia bertambah dengan ramai setiap kali Ramadhan? Atau di bulan puasa ramai yang makan berlebihan, atau yang banyak kita saksikan dengan sedihnya, pembaziran yang ketara.
Dalam pada itu pula ada pihak yang kaya mendadak sempena Ramadhan dan Syawal. Ada jugak peniaga yang hanya giat aktif berniaga hanya pada bulan ini dan hasil keuntungannya boleh bertahan sehingga Ramadhan yang akan datang! Hebat peniaga Melayu ni! Atau Siam? Atau Indon? Atau atau dan atau?
Ada yang mendapat keuntungan hanya dengan menyewa tapak perniagaan dan banyak yang untung hanya menjadi pemborong utama bagi barangan menyambut Eidul Fitr.
Belum kita berbicara lagi tentang buffet-buffet yang berselerak di sekitar kota raya. Mereka menawarkan pakej berbuka puasa pada harga yang amat tinggi sehingga mencecah hampir kepada RM200! Upah berlapar?
Belum lagi kita berbicara tentang bagaimana umat Islam membeli juadah berbuka puasa di bazar-bazar Ramadhan. Untung manusia hanya diberikan 5 jari di kiri dan kanan kalau tidak nescaya selagi ada jari selagi itulah menjadi penggantung plastik makanan. Belum cerita lagi tentang juadah mata yang dihidangkan di bazar-bazar tersebut. Maklumlah lokasi itu banyak di kawasan perumahan dan isi rumah lelaki dan wanita hanya ber'uniform rumah' dan berserabai tanpa mempedulikan amat soal aurad.
Sesungguhnya ragam umat Islam menjelang puasa dan raya ini banyak memberikan manfaat kepada para peniaga lebih-lebih lagi taukeh-taukeh Cina, tetapi pada masa yang sama memberikan mudarat yang ketara pada diri umat Islam sendiri kerana banyak menyalahi kehendak agama.
Setiap kali Ramadhan, ada peringatan dari pelbagai pihak tentang pembaziran, falsafah puasa dan fadhilat yang amat besar, tetapi ragam buruk yang sama juga yang dapat kita lihat di kalangan umat Islam.
Malulah kita pada junjungan kita Nabi Muhammad saw yang berbuka dan bersahur hanya dengan air kosong dan 3 biji kurma dan pada bulan inilah baginda cukup senang mengeluarkan sedekah walaupun tidak berharta. Insaflah kita akan tujuan kita mentaati perintah Allah ini dan banyakkan mengingati akan pengakhiran setiap yang hidup. Bagaimanakah pula pandangan dan persepsi orang kafir apabila melihat ragam kita di bulan mulia ini, bulan yang sepatutnya melahirkan lebih ramai Muslim yang bertaqwa setelah berakhirnya Ramadhan? Apakah Ramadhan bulan mengurus nafsu atau diurus nafsu? Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment