Agak-agak kita marah tak kalau penguasa makanan, tak kira lah, di gerai-gerai, restoran-restoran mahupun hotel-hotel besar dan kecil yang bukan Islam mengatakan demikian kepada kita? Mungkin itulah yang mereka maksudkan apabila menjelangnya Ramadhan banyak hotel-hotel dan lain-lain pusat makanan yang bukan Islam menawarkan bufet Ramadhan dengan harga yang sering kita tidak hirau akan harganya kerana berkunjung kemari bukanlah satu kemestian kita dalam bulan Ramadhan ini.
Tetapi; kalau ada pihak sponsor tentulah kita tidak menolak kerana selera puasa kita mahu menikmati makanan yang lazat-lazat, dihias dengan cantik dan ketika menjamu selera dialunkan dengan irama muzik yang lemah gemalai.
Siapa yang sponsor dan apakah kita layak disponsor? Yang sponsor tentulah yang punya kepentingan terhadap kita, waemah majikan kita atau kalau kita ada sedikit pengaruh dan kuasa yang dipinjamkan kerajaan atau syarikat swasta yang tegap. Kalau kita di kategori yang kedua, apakah dilema kita di sini?
Terpalitkan soalan dalam hati kita, apakah ini rasuah atau entertainment? Apakah wajar kita layan jemputan ini? Di bulan yang suci ini? Tetapi sebelum itu, tanya dulu, kalau kita tidak di kedudukan kita, apakah kita akan dijemput oleh sponsor tadi?
Berbalik kepada persoalan pokok tulisan ini, "It's time to feed the pigs". Patutkah kita marah akan ungkapan ini jika apabila di masa berbuka puasa memang selalu kita lihat ramai mengambil makanan sehingga penuh satu pinggan besar dan penuh satu meja besar? Tidakkah ini salah satu petanda buruk bahawa sebenarnya kita memang pelahap macam binatang haram itu? Jadi tak layakkah ungkapan itu dihumbankan kepada kita yang berwatak sedemikian ketika berbuka puasa setelah kononnya mematuhi kehendak Allah untuk berpuasa menahan nafsu?
Fikir-fikirkanlah demi imej agama dan kesihatan kita serta nilai puasa kita di sisi Allah swt. Belum lagi saya bicara tentang ragam berpakaian kita terutama pasa muslimah ketika berpuasa.
No comments:
Post a Comment