Monday, May 24, 2010

Bila Nak Lesenkan Rumah Sundal?

Kerajaan Malaysia terpaksa berfikir panjang untuk membuat keputusan samada hendakberikan lesen judi bola atau tidak kepada Berjaya. Chor Chee Hiung kata lesen tersebut telah diluluskan terlebih dahulu tetapi ditangguh dan kini bila tiba demam bola dunia ianya hendak diluluskan semula.
Kerajaan terpaksa berfikir kerana ada tentangan dari pelbagai pihak terhadap kelulusan lesen judi tersebut. Inilah kerajaan yang paling prihatin dalam dunia, sehingga sampai kecenderungan maksiat rakyatpun terpaksa berfikir panjang.
Asas pembinaan negara ini adalah perlembagaan dan Rukun Negara. Jelas prinsip pertama rukun itu adalah Kepercayaan Kepada Tuhan bermakna setiap warga Malaysia mesti ada kepercayaan, mesti ada agama.
Tidak ada agama yang menghalalkan judi, malah pelacuran, minum arak atau lain-lain maksiat yang diamalkan manusia. Apabila kerajaan berfikir samada untuk mengembangkan sumber-sumber judi ini, di mana letaknya prinsip pertama rukun negara tersebut.
Memang larangan jelas kepada umat Islam tetapi larangan tersebut kekal di atas papan tanda sahaja dan kalau kita perhatikan berapa ramai orang Melayu bersusun di kedai-kedai ekor dan sarang-sarang judi yang lain.
Jika nilai agama tidak digunapakai sehingga membuang masa dan wang rakyat memikirkan soal judi bola, nilai apa yang kita sandarkan sebagai sebuah negara Islam, katanyalah?
Kalau begitu, eloklah juga kerajaan fikirkan bagaimana kita nak selesaikan masalah moral yang lain seperti pelacuran. Kalau masalah judi bola diselesaikan dengan memberi lesen, maka eloklah juga sarang-sarang persundalan ini dilesenkan sekali demi memenuhi hasrat rakyat selaras dengan semangat 1Malaysia, rakyat didahulukan!

No comments: